Dipetik dari berita harian Mutakhir
Loloq meninggal
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
PETALING JAYA: Penulis lirik dan pelakon,
Rosli Khamis atau Loloq meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara di sini,
selepas koma sejak dimasukkan ke hospital itu, Ahad lalu.
Loloq menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.37 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.Loloq, 50, dimasukkan ke hospital itu, Ahad lalu,
akibat pendarahan otak selepas pengsan secara tiba-tiba di kediamannya.
Sejak itu, Allahyarham tidak sedarkan diri dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Malah, pembedahan bagi membuang darah beku di kepalanya,
Isnin lalu, tidak banyak membantu.
Ketika menghembuskan nafas terakhir, isteri Allahyarham, Hariyah Yaacob, 36,
berada di sisinya. Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10;
Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5.
Hariyah yang enggan mengulas lanjut mengenai punca kematian suaminya berkata,
Loloq meninggal dunia kerana pendarahan di otaknya.
"Selepas pembedahan, keadaan arwah stabil.
Namun menurut doktor, disebabkan karbon dioksida terlalu banyak di dalam paru-parunya
memberi kesan kepada seluruh sistem badan arwah," kata Hariyah.
Jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Surau Al Ikhwan,
Bandar Baru Sungai Buluh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buluh
selepas solat Asar.
Antara rakan artis yang hadir ialah Pengerusi Badan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP),
Habsah Hassan; Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi),
Datuk Aziz Bakar; Presiden Karyawan, Freddie Fernandez; Presiden Persatuan Penyanyi,
Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid, Datuk A Rahman Hassan,
Amy Search, Joe Wings, Hattan dan Ramli MS.
Loloq yang terkenal sebagai seorang penulis lirik menghasilkan lebih 1,000 lirik.
Antaranya yang popular ialah Apokalips, Keroncong Nostradamus,
Awan Yang Terpilu, Nur Nilam Sari, Aduh Saliha, terbaru Angan dan Sedar dan Sembunyi.
Allahyarham juga pernah berlakon dan banyak membintangi filem di bawah arahan
Mamat Khalid iaitu Lang Buana, Man Laksa, Rock dan Zombie Kampung Pisang
selain pernah menulis dua skrip filem iaitu Orang Minyak dan Aduh Saliha.
Sahabat baik Allahyarham, M Nasir menyifatkan pemergian Loloq sebagai satu
kehilangan besar buatnya.
"Saya ada ramai kawan tetapi tidak ada yang sepertinya.
Saya terkilan kerana tidak dapat menghabiskan masa dengan arwah
kerana dia tidak sedarkan diri. Kali terakhir saya bertemu dengannya
kira-kira tiga minggu lalu," kata M Nasir,
satu-satunya teman rapat Allahyarham yang dibenarkan masuk ke bilik ICU.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 Comment and put their link:
al-Fatihah
Post a Comment