ABDOLLAH Amat dimasukkan ke bahagian trauma dan kecemasan sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada awal pagi dua minggu lalu selepas mengadu rasa kaku dan kebas di kedua-dua belah tangan dan kaki.
Bekas guru berumur 62 tahun itu juga mengadu tidak selesa serta rimas pada bahagian dada selain rasa mual dan keletihan yang terlampau.
Doktor menjalankan ujian darah terhadap Abdollah dan keputusan ujian berkenaan menunjukkan kandungan kalium (potassium) dalam darah beliau adalah tinggi, 7.2 mmol/L.
Dalam badan manusia, kandungan normal adalah 3.5-5.5 mmol/L.
“Doktor yang merawat saya menyatakan dengan kandungan darah kalium setinggi itu, saya mungkin dapat serangan sakit jantung bila-bila masa,” kata Abdollah yang juga seorang pesakit buah pinggang ketika ditemui di pusat perubatan itu.
Abdollah mengalami hiperkalemia iaitu tahap kalium dalam darah melebihi paras normal.
“Doktor menasihati saya berhati-hati dalam pemakanan, terutama kurang makan ulam, iaitu makanan kegemaran saya,” kata Abdollah.
Menurut Kan Chok On, Pegawai Sains Perubatan Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kalium adalah sejenis mineral semula jadi dalam makanan.
Kalium memainkan peranan penting dalam aktiviti normal untuk otot dan saraf terutama jantung.
“Kalium adalah mineral yang diperlukan untuk aktiviti normal jantung.
Bagaimanapun, bagi sesetengah orang, ia boleh memudaratkan kalau terlampau tinggi kandungannya dalam darah,” katanya.
Kan yang bertugas di bahagian rawatan nefrologi PPUM juga mengatakan kandungan kalium berlebihan dikumuh melalui ginjal (buah pinggang).
Bagi mereka yang mempunyai kegagalan ginjal, proses itu tidak berlaku dan menyebabkan tahap kalium dalam darah meningkat.
“Memang bahaya kalau kandungan kalium dalam darah meningkat, terutama bagi pesakit buah pinggang. Buah pinggang yang rosak menyebabkan badan tidak berupaya mengeluarkan lebihan kalium melalui air kencing, lantas keadaan mudarat seperti hiperkalemia mudah terjadi,” kata Kan yang mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam perawatan dialisis untuk pesakit buah pinggang.
Seseorang itu mungkin juga tidak mempamerkan tanda atau gejala yang beliau mengalami hiperkalemia.
“Apabila tahap kalium naik terlampau tinggi, antara tandanya ialah rasa lemah otot, sakit dada serta palpitasi jantung dengan jantung berdenyut secara cepat dan tidak normal,” katanya.
Menyentuh ulam pula, Kan berkata, ia daripada sayur-sayuran atau buah yang boleh dimakan secara mentah dan biasanya diambil dengan nasi.
“Bagi masyarakat Melayu, mereka suka makan ulam seperti petai dan pelbagai jenis pucuk seperti pucuk paku, pucuk ubi, daun selom, ulam raja dan juga sayuran hijau yang lain, tapi ini semua mengandungi tahap kalium yang tinggi.
“Begitu juga buah-buahan tropika seperti pisang, limau dan oren, buah kiwi, papaya, durian serta tembikai susu. Juga air buah seperti air kelapa dan jus prun.
“Bagi yang mengalami kerosakan buah pinggang, anda perlu mengurangkan pengambilan sayur seperti bayam, kangkung dan sawi,” katanya.
Seorang pakar pemakanan dengan sebuah institusi perubatan swasta, S Y Fong berkata, jika pesakit masih mahu juga makan sayur-sayuran hijau, ia mestilah direndam dalam air bersih selama dua jam sebelum dimasak.
Ini supaya kalium dalam sayuran dapat dilarutkan dalam air yang digunakan untuk merendam sayuran itu.
Sayuran itu boleh dimakan selepas dimasak tapi elakkan mengambil kuah sayur kerana dikhuatiri masih ada kalium dalam kuah itu.
Fong menasihatkan pesakit buah pinggang memakan tauge, kubis, terung, kacang panjang, lobak, bunga kobis, timun dan bawang.
“Elak atau kurangkan makan aiskrim, makanan serta minuman dalam tin, dadih, susu, coklat dan juga bahan gantian garam kerana semua ini tinggi kandungan kaliumnya.
Katanya, jika langkah penjagaan makanan tidak berapa efektif dan tahap kalium dalam darah masih tinggi, pesakit terpaksa mengambil ubat khas yang dikenali sebagai resin.
“Resin seperti sodium polystyrene sulphonate, atau kayexalate boleh diambil. Resin akan bergabung dengan kalium dalam intestin dan kalium yang lebih itu akan dikeluarkan dari badan melalui najis,” katanya.
Resin dalam bentuk serbuk perlu dibancuh dalam air kemudian diminum. Dos biasanya 15 gm dan diambil empat kali sehari.
Biasanya, selepas mengambil ubat selama 24 jam, kandungan kalium tinggi dalam darah akan menurun. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Comment and put their link:
Post a Comment